ShoutMix chat widget
[close]

Kunjungan

Friday, August 13, 2010

Dugaan, satu kekurangan atau kelebihan

Posted by alfalahupsi | Friday, August 13, 2010 | Category: |


Keluhan demi keluhan dihembuskan dari mulut-mulut mereka yang menghadapi dugaan, samada dugaan itu kecil dan apatah lagi apabila tiba dugaan yang lebih hebat. Kesengsaraan, kekecewaan, kesakitan dan kefakiran adalah tanggapan yang sering diterjemahkan bagi mendefinisikan apakah itu dugaan. Dugaan dianggap sebagai satu penyakit manakala kesenangan pula sebagai penawar bagi setiap dugaan yang kunjung tiba. Hakikatnya, kesenangan bukanlah bertindak sebagai penawar tetapi hanya bertindak seperti ubat penahan sakit. Tidak dinafikan dengan kesenangan manusia dapat hidup dengan selesa, mewah, gembira dan penuh dengan kelapangan masa. Namun begitu, meskipun sehebat mana pun kesenangan manusia ketika di dunia, kesenangan yang dimiliki mereka pasti mempunyai garisan penamat iaitu ajal. Namun bagaimanakah pula dengan dugaan? Sudah tentu Allah tidak menciptakannya dengan sia-sia dan mempunyai hikmah yang tersendiri.

Wahai sahabat sekalian, ketahuilah....

1) Tidak ada kelebihan Islam itu berbanding agama lain tanpa dugaan.
Bersama-sama agama Islam kita dianugerahkan al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan utama umat Islam. Intipatinya antara lainnya mengajar manusia tentang hakikat kehidupan di dunia yang hanya merupakan persinggahan sementara manusia manakala kehidupan di akhirat pula menjanjikan kehidupan yang terjamin dan bersifat abadi. Dugaan yang datang membuatkan umat Islam sanggup berkorban apa sahaja dengan meninggalkan harta, pangkat, keluarga, bahkan nyawa demi mempertahankan agama Islam yang tercinta dan mendapatkan tempat yang terbaik di sisi Allah.


2) Tidak dikagumi para rasul-rasul dan nabi-nabi tanpa dugaan.
Antara kehebatan dan kelebihan insan yang bergelar utusan Allah s.w.t adalah dari segi kesabaran, kecekalan, ketabahan dan kebijaksanaannya dalam menempuh dugaan yang datang dengan penuh hikmahnya. Bayangkan jika tidak wujud dugaan untuk mereka, sukar sekali bagi mereka untuk mendapat tempat di hati umat Islam sebagai qudwatul hasanah (role model).


3) Tidak diketahui siapakah muslimin sejati tanpa dugaan.
Umat Islam sentiasa terdapat di dalamnya sekelompok manusia yang hanya bertopengkan Islam walhal mereka tidak beriman dan memusuhi Islam. Mereka adalah dalam kalangan orang yang memusuhi Islam dan kelompok yang hipokrit bersama-sama Islam iaitu al-Munafiq. Mereka hanya bersama-sama umat Islam ketika senang tetapi melupakan dan meninggalkan Islam di ketika umat Islam menghadapi kesukaran yang dikenal sebagai dugaan.


4) Tidak hebat lagi dakwah Islamiah tanpa dugaan.
Islam itu sangat indah dan keindahannya sentiasa menjadi daya tarikan untuk mendekatinya. Jika Islam itu indah, dugaan pula menjadi sebahagian daripada keindahan Islam itu sendiri. Islam mendidik umatnya untuk sentiasa menerima kunjungan dugaan dengan penuh kesabaran dan keredhaan di dalam hati. Dugaan yang datang sepatutnya dianggap sebagai satu kurniaan dari Allah untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya dan sebagai satu peluang untuk mempamerkan imej atau keistimewaan orang Islam yang kalis terhadap dugaan sebaliknya dengan dugaan mereka menjadi lebih kuat dan kukuh memegang panji-panji Islam.


5) Tidak ada manusia di Syurga tanpa dugaan.
Syurga Allah sudah tentu untuk memasukinya bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan bayaran yang mahal. Dugaan demi dugaan perlu dihadapi dengan penuh keredhaan dan kesabaran sehingga berakhir dengan kematian. Tahap dugaan yang berjaya ditempuhi dengan ikhlas dan sabar akan menjadi suatu bekalan yang baik di akhirat kelak yang seterusnya akan cenderung membawa mereka ke Syurga Allah. Jika tiada dugaan untuk manusia, tiada lagi kepentingan diciptakan manusia beserta akal fikiran juga tiada lagi guna diciptakan manusia mempunyai naluri dan perasaan juga hawa nafsu. Bahkan tiada lagi guna diciptakan manusia di bumi dengan segala kesempurnaannya dan keistimewaannya selain diuji dengan dugaan. Dugaan yang membawa manusia ke Syurga iaitu sebuah tempat yang hanya layak dihuni oleh mereka yang berjaya menghadapi segala ujian semasa berada di dunia.

(Aminuddin Bin Mohamed)

Currently have 1 comments:

  1. manusia yang benar2 yakin akan hikmah disebalik ujian dan dugaan yg Allah berikan, akan bertambah2 lg keimanan mereka..dan yg tidak yakin, akan bertambahlah kekufuran mereka..nau'zubillah..
    Allah tidak akan menimpakan ujian dan taklifan yang kita tidak mampu menanggungnya..Allah Maha Tahu kadar kemampuan hamba2Nya, jadi bersyukurlah jika kita yg dipilih utk diuji..
    "Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yg sentiasa bersyukur atas segala nikmat serta ujian yg Engkau berikan.."amin..
    Ramadhan Kareem..
    ukhutukum fil islam..
    takbir


Leave a Reply

Blog Archive